SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG

Thursday 24 January 2013

Nazam-Puisi Warisan


NAZAM KASIH AYAH DAN IBU
 (Irama versi Kedah-Perlis)

Ibu mengandung sembilan bulan
Lebih dan kurang tak ditentukan
Lahirkan dikau berapa kesakitan
Berpantang pula minum dan makan

Cukuplah masa sampai ketika
Lahirlah engkau ke dalam dunia
Barulah suka ibu dan bapa
Kepada engkau sangat kasihnya

Harap ibumu bukan sedikit
Tinggilah harap darinya bukit
Lama ibumu merasa sakit
Sembilan bulan tidak berbangkit

Setelah kamu sudahlah ada
Siang dan malam ibumu jaga
Tidur pun tidak barang seketika
Makan dan minum tidak berasa

Berapalah dian dengannya tanglung
Diangkat dituam lalu dibedung
Sudahlah jaga lalu didukung
Kasih dan sayang tidak tertanggung

Tidaklah tentu siang dan malam
Bangun memangku di dalam kelam
Terkejut jaga di tengah malam
Tidur pun tidak lekat di tilam.

Rela ibumu menanggung hutang
Kain dan baju tidak dipandang
Basah diampai kering di pinggang
Didukung galas tidak berenggang

Kenang ayahmu anak bangsawan
Barang katanya jangan dilawan
Ibu bapamu hubungan Tuhan        
Baru sempurna anak budiman       
           
Hai segalanya anaknya Adam         
Kasihnya ibu tiada sempadan
Kasihnya ayah rela berkorban
Badan dan nyawa jadi taruhan


Irama versi Melaka

Elok kata murni jiwa harum budi
Hidup kita penuh makna orang sudi

Elok paras banyak harta jika keji
Tiada siapa ingin dekat kita rugi

Hai  saudara jangan sombong tinggi diri
Hidup jadi sia-sia tak bererti

Elok tingkah perbuatan hati mulia
Itulah tanda orang budiman orang suka

Elok perangai tidak dengki iri hati
Hidup damai sana sini orang rai

Hai saudara insaf diri buat kebaikan
Jangan lalai sampai lupa pada Tuhan

Ingat pesan ayah bonda penuh harapan
Anaknya jadi insan mulia masa depan

Harapan guru muridnya jadi orang berguna
Capai jaya cekal usaha hidup sempurna

Hai saudara jangan mudah putus harapan
Rajin usaha itu tanda kejayaan



Nazam ; Sifat Dua Puluh
(Irama Versi Melaka)

Bismillah itu permulaan kalam
Dengan nama Allah khaliqul-alam
Ar-Rahmanirrahim dua sifat kemuliaan
Dunia dan akhirat kemurahan mengasihan
Alhamdulillah puji-pujian
Puji yang empat kembali bagi Tuhan
Selawat dan salam atas nabi kemuliaan
Ialah penghulu din dan Islam
Atas keluarga sahabat yang bahagia
Atas segala tabi’ tabi’in mengikut dia
            Amma ba’du inilah nazam
Aku namakan dia kasifulqirom
Mana yang membuka hati yang kelam
Pada menyatakan agama Islam
Ashhaduanlailahailallah
waashhaduannamuhammadarrasulallah
Aku mentashdiqkan tiada Tuhan melainkan Allah
Aku mentashdiqkan nabi Muhammad pesuruh Allah
Tiadalah ku daya tiadalah upaya
Melainkan dengan tolong Tuhan yang kaya
Dengan kemegahan nabi yang mulia
Darilah awal hingga akhierkan dia
Inilah maksud kepada yang maksud
Pada menyatakan sifat yang makbud
Sifat 20 wajib bagi Tuhan
Wajib ketahui kita laki-laki dan perempuan
Ketahui olehmu sekalian ikhwan 

Sumber; Kumpulan Nurul Aman,
Sifat dua puluh wajib kita bilang..Berendoi Sifat 20 Nazam Berlagu (Kaset)

Nazam; Dodoi Buai Anak
(Irama Versi Kedah-Perlis)

Pejamkan mata anakku sayang,
Dalam buaian ibu dodoikan,
Ibu berdoa kepada tuhan,
Minta jauhkan gangguan syaitan.

Harum mewangi si bunga melur,
Kembang berseri di hujung laman;
Anakku manis lekaslah tidur,
Ibumu ini banyak tugasan.

Baiknya laku bekal dunia,
Eloknya budi bekalnya mati,
Cantiknya rupa mainan mata,
Indah bahasa penambat hati.

Cepatlah besar anakku ini,
Boleh kuhantar tempat belajar,
Menghadap guru lebai dan haji,
Dunia akhirat biar sejajar.

Pergi ke hulu membeli buyung,
            Buyung dibawa pulang bertiga;
Jadikan ilmu sebagai payung,
            Payung hidupmu di hari muka.

Menanam temu di kampong sena,
            Tanam bersama dengan halia;
Kalau hidupmu sudah sempurna,
            Ibu dan bapa tumpang bahagia.

Asalnya kain jadi pakaian,
            Ditiup angin jatuh ke lumpur;
Biar menangis dalam buaian,
            Jangan menangis di dalam kubur.

Pergi ke hulu membeli buyung,
            Buyung dibawa pulang bertiga;
Jadikan ilmu sebagai payung,
            Payung hidupmu di hari muka.

Menanam temu di kampong sena,
            Tanam bersama dengan halia;
Kalau hidupmu sudah sempurna,
            Ibu dan bapa tumpang bahagia.

Asalnya kain jadi pakaian,
            Ditiup angin jatuh ke lumpur;
Biar menangis dalam buaian,
            Jangan menangis di dalam kubur. 

Sumber: CD Puisi Tradisional Zurinah Hassan

Nazam; Rukun Islam
(Irama Versi Melaka)

Allah Allah azzawajal Tuhan kami
Kami minta ampun akan dosa kami

Segala puji bagi Allah yang menyuruh
Berdiri sembahyang atas insan dengan sungguh

Hai saudara sembahyang itu rukun Islam
Fardu ain atas kamu siang malam

Agama Islam dipersusun atas lima
Mengucap syahadah tanda iman yang pertama

Yang kedua sembahyang itu tiang agama
Yang ketiga puasa ramadhan bulan utama

Yang keempat keluar zakat jika sampai
Nisab harta milik kamu jangan lalai

Yang kelima naik haji ke Baitullah
Jika ada kuat kuasa wajiblah

Allah Allah azzawajal Tuhan kami
Kami minta akan ampun dosa kami...

(Sumber, Ali Bachik , Melaka)




Nazam : Tidurlah Intan
(Irama Versi Kedah-Perlis)

Tidurlah intan emas tempawan
Tidur seorang dalam buaian
Ibu berdoa kepada Tuhan
Hidup dan mati dalam beriman

Ratib- ratib bunga tanjung
Bunga kembang di huiung galah
Ratib- ratib sama sekampung
Ratib seorang memuji Allah

Tok Haji berserban merah
Turun ke padang memburu rusa
Orang mengaji memuji Allah
Orang sembahyang mencuci dosa

Lekaslah besar anakku ini
Boleh ku serah ke tempat mengaji
Menghadap guru lebai dan haji
Di akhirat kelak tidaklah rugi

Mudik ke hulu sambil berdayung
Dayung dipaut selang berdua
Menuntut ilmu menjadi payung
Menjadi payung di hari muka

Nyior manis tanam- tanaman
Tanam mari di tepi dapur
Biar menangis dalam buaian
Jangan menangis di dalam kubur

Tanam tebu di lembah sana
Tali seurat bercalar lima
Kalaulah ilmu sudah sempurna
Dunai akhirat Allah terima

(Sumber, Ali Bachik, Melaka)






Gurindam-Puisi Warisan


GurindaM 12 Fasal yang keenam
 (Irama versi bangsawan)

Cahari olehmu akan sahabat
Yang boleh dijadikan ubat

Cahari olehmu akan guru
Yang tahukan tiap seteru

Cahari olehmu akan isteri
Yang boleh menyerahkan diri

Cahari olehmu akan kawan
Pilih segala orang setiawan


GURINDAM PELIHARA LIDAH
 (Irama versi Melaka)

Jika kamu banyak berkata
Di situ banyak membuat dusta

Jika kamu banyak bercakap
Tanda fikiran kurang lah lengkap

Jika kamu banyak berkata
Kejahilan kamu terang dan nyata

Jika kamu banyak bercakap
Kekurangan kamu mudah tersingkap

Jika kamu banyak berkata
Di situ banyak silang sengketa

Jika kamu banyak bercakap
Kamu sendiri masuk perangkap

Jika kamu banyak berkata
Janji palsu senang tercipta

Jika kamu banyak bercakap
Kata mengata banyak diungkap

Jika kamu banyak berkata
Banyak janji tidak dikota

Jika kamu banyak bercakap
Rahsia kamu dapat ditangkap







Syair-Puisi Warisan


SYAIR SITI ZUBAIDAH
 (Irama Siti Zubaidah)

Mulutnya manis bijak laksana
barang lakunya semuanya kena
putih kuning usul sederhana
memberi hati gundah gulana

Dapatlah nama Puteri Zubaidah
awal dan akhir tidak sudah
sebarang lakunya memberi faedah
menundukkan orang terlalu mudah

Semuanya sudah di bawah perintahnya
tunduk dan kasih akan dianya
terkena di dalam lemah lembutnya
lemahlah hati segala seterunya

Itulah akal orang sempurna
bijak bestari arif laksana
ditanggung dahulu hina dan dina
kemudian kebesaran juga terkena

Di mana kita dapat mencari
seperti akal Zubaidah Puteri
takluk dan tunduk segala puteri
patutlah jadi mahkota negeri

Zubaidah itu orang berakal
mengadap seteru sangat tawakal
jalan bermadu hatinya tawakal
mengaji sembahyang tidak tertinggal

SYAIR KEMANGKATAN SULTAN SULAIMAN
 (Irama Mayang)

Deli tua negerinya itu,
Kotanya kukuh berpagar batu,
Pasarnya ramai bukan suatu,
Tiada berbanding di zaman itu.

Baginda berputera tiga orang jua,
Laki-laki konon putera yang tua,
Puteri cantik putera kedua,
Parasnya elok jarang tersua.

Putera yang bongsu laki-laki jua,
Parasnya elok tiadalah dua,
Menarik hati orang semua,
Dikasihi rakyat muda dan tua.

Adapun akan dulu baginda,
Isterinya lama sudah tiada,
Banyak dicari gadis dan janda,
Hati baginda penuju tiada.

Beberapa lama demikian itu,
Di atas takhta konon sang ratu,
Dengan kehendak Tuhan yang satu,
Baginda pun gering suatu waktu.

Baginda nan gering bukan kepalang,
Badannya kurus tinggallah tulang,
Tabib pun selalu datang berulang,
Mengubati baginda raja terbilang.

Tabib berusaha bersungguh hati,
Menolong baginda raja berbakti,
Sudah takdir Rabbulizzati,
Penyakit tak dapat lagi diubati.

Pertolongan tabib tiada berfaedah,
Semakin payah sultan yang syahdah,
Ajal baginda hampirlah sudah,
Ke negeri yang baqa akan berpindah.

Dengan hal yang demikian itu,
Penyakit menggoda setiap waktu,
Ubat pun tiada dapat membantu,
Baginda pun mangkat ketika itu.

Baginda berpulang ke rahmatullah,
Takhta kebesaran semua tinggallah,
Harta dunia sudah terjumlah,
Kepada yang lain diberikan Allah.



SYAIR WASIAT AYAHANDA SITI ZAWIYAH
 (Irama Hiasan)

Ada kepada suatu hari,
Sakit saudagar laki dan isteri,
Adalah kiranya tujuh hari,
Tidak bergerak kanan dan kiri.

Saudagar tahu akan dirinya,
Hampirlah mati kepada rasanya,
Lalu memanggil akan anaknya,
Dicium kepala dengan tangisnya.

Katanya wahai cahaya mataku,
Tinggallah tuan buah hatiku,
Hampirlah mati gerangan aku,
Baiklah tuan tingkah dan laku.

Serta hartaku aku tinggalkan,
Tuan seorang yang menyukakan,
Sampai habis semua diterimakan,
Faedahnya akan diberikan.

Jikalau tidak anakku berakal,
Harta pusaka di manakan kekal,
Habislah harta badan yang tinggal,
Laksana perahu bersauh tunggal.

Kerana harta tiada berguna,
Jikalau tidak akan sempurna,
Sekalian itu habislah fana,
Hanyalah tinggal badan merana.

Budi bahasa janganlah lupa,
Muliakan olehmu ibu dan bapa,
Mana yang datang padamu berjumpa,
Janganlah lambat tuan menyapa.

Kerana adat orang berbeza,
Tiada memandang harta dan benda,
Tegur dan sapa itu yang ada,
Itu penambah di dalamnya dada.


 SYAIR NASIHAT
 (Irama Batu Belah)

Dengarlah tuan ayah berperi,
Kepada anakanda muda bestari,
Nasihat kebajikan ayahanda beri,
Amalkan jangan malas dan nyeri.

Ayuhai anakanda muda remaja,
Jika anakanda menjadi raja,
Hati yang betul hendak disahaja,
Serta rajin pada bekerja.

Kerja kebajikan janganlah malas,
Zahir dan batin janganlah culas,
Jernihkan hati hendaklah ikhlas,
Seperti air di dalam gelas.

Menuntut ilmu janganlah segan,
Ilmu yang benar jangan yang bukan,
Iaitu ilmu yang kebajikan,
Di kitab ini sudah disebutkan.

Hendaklah anakanda mengaji selalu,
Dari yang lain lebihkan dulu,
Had syarak jangan dilalu,
Tidaklah anakanda beroleh malu.

Segala perbuatan dengan berilmu,
Maka kebajikan boleh bertemu,
Jika sebarang-barang diramu,
Akhirnya anakanda jatuh tersemu.

Ilmu itu besar faedahnya,
Membezakan hak dengan batilnya,
Mengetahui rakyat benar salahnya,
Supaya dihukumkan dengan adilnya.

Jika ilmu tidak diendah,
Sebab anakanda capak permudah,
Rakyat datang membawa gundah,
Anakanda tercengang tunduk tengadah.

 SYAIR SITI SIANAH
(Irama Dodoi)

Setengah perempuan terlalu janggalnya,
Roma di muka pula dicukurnya,
Seperti taji berandam di keningnya,
Kemudian memakai dengan selengkapnya.

Mengagak mengilai terlalu suka,
Melihat lelaki ditampakkan muka,
Supaya lelaki boleh menyangka,
Ianya elok tiada berhingga.

Setengah perempuan sangat pesolek,
Berhias berdandan berpakai molek,
Di dalam cermin muka ditelek,
Kanan dan kiri dibelek-belek.

Meskipun tiada berapa eloknya,
Ada setengah kembang hidungnya,
Serta pula kepik batangnya,
Seperti buaya besar mulutnya.

Setengah perempuan perangainya cela,
Habis dipenuh rambut kepala,
Rambut yang sikit disiputnya pula,
Memakai cemara berjela-jela.

Terkadang muka dibubuh pupuri,
Kaki dan tangan, lengan dan jari,
Jadilah rupanya putih berseri,
Pekerjaan tipu sangat digemari.

Setengah perempuan yang makan angkat,
Memakai gelang bertingkat-tingkat,
Memandang lelaki matanya lekat,
Dengan jantan suka berdekat.

Kaki dan tangan dinaikkan pula,
Pura-pura dikatakan ubat segala,
Hakikatnya diketahui Allah Taala,
Supaya lelaki berhati gila.

Berlindunglah kita kepada Allah,
Daripada perbuatan yang salah,
Mudah-mudahan dilepaskanlah,
Jangan menjadi betina sempolah.

Setengahnya suka bermain judi,
Inilah perangai banyak terjadi,
Habis tergadai intan serudi,
Kerana perangai sudah membadi.

Lelaki perempuan bertindih lutut,
Banyak kelakuan yang tidak patut,
Sembahyang ibadat sudahlah bantut,
Kerana syaitan duduk di buntut.



















Puisi Warisan 2

Syair Definisi Orang Berakal (Irama Perindu)

orang berakal sangatlah mulia,
pakaian anbia dan aulia,
barang siapa mengikut dia,
itulah tanda orang bahagia.

kerana ia akalnya tajam,
menjadi kepala bela bermacam,
jikalau mata melihatkan kejam,
disebutlah jalannya ia tersunjam.

telek pandangan dengan makrifat,
sangatlah mengasihi tuan dan sahabat,
tiada mengasihi orang yang jahat,
takut akhirnya menjadi fazihat.

sebagai lagi tanda berakal,
perintah syarak tiada menyangkal,
menjauhkan tamak hendak tawakal,
Hibanya tahu dunia tak kekal.

Jika ia dikasihi raja,
tiadalah ia melanja-lanja,
tiadalah menyombong pada bekerja,
dengan taulannya bersamaan sahaja.

apabila raja kasih sangat,
makin itu makin ia ingat,
segala taulannya hatinya dihambat,
merendahkan diri serta berkhidmat.

demikian lagi dengar olehmu,
tanda berakal kasihkan ilmu,
suka mentelaah tiadalah jemu,
mencari kupasan jangan tersemu.

Abu Hassan Sham (penyelenggara)
Puisi-Puisi Raja Ali Haji,1993
DBP. ( Antalogi Harga Remaja, Tingkatan 4, 2009:8)

Puisi Warisan

Puisi warisan terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya adalah seperti yang berikut;
a) Syair
Syair mempunyai 13 jenis irama untuk dilagukan, antaranya adalah seperti yang berikut;

  1. Irama narasi/sarawak
  2. Irama perindu
  3. Irama mayang
  4. Irama siti zubaidah
  5. Irama dodoi
  6. Irama batu belah
  7. Irama hiasan
  8. Irama selendang delima
  9. - 13. (penulis lupa, tanyakan pada yang pakar)

b) Gurindam
Antara jenis irama gurindam untuk dilagukan adalah seperti yang berikut;

  • Irama Versi Bangsawan
  • Irama Versi Melaka

c) Nazam
Antara jenis irama nazam untuk dilagukan adalah seperti yang berikut;

  • Irama versi Kedah-Perlis
  • Irama Versi Melaka (Tanjung dan Serkam)

d) Seloka
e) Mantera
f) Talibun
g) Teromba dan lain-lain

* Untuk menyanyikan lagu syair atau mana-mana jenis puisi tradisional atau puisi warisan, sebutan hendaklah menggunakan Bahasa Melayu Johor-Riau. Manakala, untuk mendeklamasikan puisi moden iaitu sajak pula sebutan hendaklah mengunakan Bahasa Melayu Baku.


Antara beberapa contoh teks syair;

Syair Rakis (Irama Narasi)

Bismillah itu mula karangan
Gurindam bayu nama timangan
Kisah rencana dangang buangan
Nestapa lara di gunung larangan

Di gunung larangan asmara guna
Menyamar jadi papa kelana
Segenap desa pantai saujana
Membawa nasib tiada berguna

c/o: Membawa nasib untung sendiri
       Meninggalkan rumah anak dan isteri
       Masuk segenap desa dan negeri
       Seperti orang hendak mencari

Seperti burung lepas tangakapan
Terbangnya tiada hinggap-hinggapan
Bunga dan buah tiada dimakan
Daripada bagas kemasghulan

Sebut namaku dagang asmara
Tiada tentu desa dan negara
Bercerai dengan sanak saudara
Membawa nasib untung ketara

c/o: Namaku Misa panji larangan
      Dari kecil timang-timangan
      Sudah sekarang buang-buangan
      Di negeri orang keseorangan



Syair Jong Pecah (Irama Narasi)

Assalamualaikum saya ucapakan,
Selamat sejahetera handai dan rakan;
Sebuah syair saya sajikan,
Bersama-sama kita dengarkan.

Duhai dengarlah suatu cetera,
Di zaman dahulu sebuah negara;
Bangsa bijak gagah perwira,
Hidup bersatu aman sejahtera.

c/o: Berkali-kali dicuba musuh,
Negara dilanggar hendak diruntuh;
Berkat bersatu rakyat teguh,
Serta berdaulat berdiri kukuh.

Sudahlah sampai saat yang gelap,
Entah di mana salah dan silap;
Entah siapa lalai dan lelap,
Rakyat bergelap daulat pun malap.

Jadilah kita bangsa terjajah,
Terjejas daulat tercemar maruah;
Politik rebeh ekonomi rebah,
Siang malam berhati gundah.

c/o: Kita dijajah empat kurun,
Ditambah empat puluh enam tahun;
Budayakan ilmu setandus gurun,
Harga diri semakin turun.


Syair Burung Pungguk (Irama Narasi)


Bulan purnama pungguk merindu,
Berbunyilah guruh mendayu-dayu;
Hatinya rawan bercampur pilu,
Seperti dihiris dengan sembilu.

Pungguk bermadah cahayanya rawan,
Wahai bulan terbitlah tuan;
Sudahku tidak berketahuan,
Keluarlah bulan tercela awan.

c/o: Ketika bulan sedang berkurung,
Pungguk terbang segenap lorong;
Ramai bertanya sekalian burung,
Pungguk wahai mengapa nan murung.

Bulan purnama cahayanya terang,
Bintang belantik indah dikarang;
Rawannya pungguk bukan sebarang,
Berahikan bulan di tanah seberang.