SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG

Thursday 9 January 2014

Buku Bacaan Mingguan (2)

Buku Bacaan Mingguan:



Tajuk: Aishah Ghani Memoir Seorang Pejuang
Tahun terbit: Cetakan Pertama 1992
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka KL
Bil. Ms: 267
Harga: rm15
Tempoh bacaan: 5 hari 

Apa yang menarik tentang buku ini ialah menceritakan kisah seorang tokoh pejuang bangsa@tokoh ahli politik wanita. Bermula daripada sejarah beliau dilahirkan, meneruskan pengajian, alam pekerjaan, berumah tangga dan sehinggalah bagaimana beliau boleh terlibat dalam politik. Selain daripada itu, dalam bukunya ini beliau turut mengulas serba sedikit tentang buku yang ditulis oleh Tun Dr. Mahathir yang bertajuk The Malay Dilemma dan mengenai gagasan Wawasan 2020 Tun Dr. Mahathir. Tambahan daripada itu, saya juga baharu dapat mengetahui bahawa Ketua Wanita UMNO pada zaman dahulu dikenali juga sebagai Ketua Ibu Malaya.

Antara bait-bait tulisan beliau dalam buku ini yang menarik minat saya adalah seperti;

...Satu yang agak memeranjatkan saya ialah kebebasan bergaul antara pelajar-pelajar lelaki dan perempuan dan dalam kelas tidak ada tabir yang menyekat antara pelajar wanita dan laki-laki. Belajar di sini merupakan satu dunia baru bagi saya. Inilah kali pertama saya mempunyai kawan-kawan wanita dan laki-laki. Guru-guru laki-laki muda-muda belaka. Mereka memakai pentalon, bertali leher dan tidak ada yang berserban walaupun sudah ada yang telah naik haji ke Mekkah seperti Ustaz Yahya yang berkelulusan Al-Azhar. Pelajar-pelajar wanita memakai baju kurung dan bertudung mudarawah. Saya kerap tertanya-tanya sendiri tidakkah pergaulan bebas di maktab ini membawa padah kerana mungkin ramai yang saling cinta mencintai atau berkelakuan sumbang. Setelah hampir setahun saya belajar di maktab ini, baharulah saya tahu bahawa dengan pendidikan agama yang mereka terima, pelajar-pelajar sendiri menegakkan benteng dan batas-batas tertentu dalam pergaulan hari-hari. Boleh dikatakan semua kawan saya ketika itu sependapat bahawa apa juga daya tarikan dan godaan tidak baik dan tidak diredai Allah hanya dapat dikawal dengan iman. Sudah menjadi satu tradisi di maktab ini, di kalangan sesama pelajar tidak seharusnya ada yang jatuh cinta. Sekiranya ada yang berbuat begitu, pelajar-pelajar sendiri memandang serong terhadap mereka kerana mereka dianggap orang yang tidak boleh dipercayai. Oleh kerana amalan dan sikap pelajar-pelajar begitu, saya sedikit pun tidak berasa bimbang dan khuatir untuk berjalan bersama-sama dengan beberapa orang teman laki-laki dan wanita...(ms11)

...Kota hanya untuk tempat mencari rezeki, manakala udara kampung mampu memberi ketenangan... (ms135)

...Akibat kejadian 13 Mei orang-orang Melayu menjadi lebih radikal dan menentang sebarang perbuatan tolak ansur, yang dikatakan mempunyai kesan-kesan yang tidak sihat ke atas UMNO...(ms140)

...Pada pendapat saya inilah sikap juga salah satu sebab terhakisnya harta-harta orang Melayu kerana sikap yang tidak memandang jauh. Masih segar dalam ingatan beberapa tanah-tanah kepunyaan Melayu dalam bandar Kuala Lumpur ini bertukar milik...(ms220)

...Kerana sifat-sifat baik yang ada pada orang Melayu yang mementingkan budi bahasa dan suka mengalah, akhirnya mereka tidak lagi bertahan dan bersaing dengan peniaga-peniaga Cina atau India yang jauh lebih pandai daripada mereka. Orang Melayu pada zaman dahulu suka berpuas hati tinggal di kampung-kampung dan setengahnya sangat jauh di pedalaman. Lama-kelamaan mereka menjadi golongan petani yang mundur.Dalam pada itu kejutan Perang Dunia Kedua telah menimbulkan satu kesedaran di hati orang Melayu bahawa mereka perlu berbuat sesuatu untuk melepaskan diri dari cengkaman dan penindasan penjajah. Dengan itu mereka mulai berani dan menunjukkan minat besar dalam politik, dan akhirnya setelah mencapai kemerdekaan, orang Melayu melalui UMNO menjadi teras kepada kerajaan Barisan Nasional. Kejayaan orang Melayu menguasai politik, boleh juga dijadikan bukti bahawa mereka boleh maju dalam bidang-bidang yang lain walaupun bidang perniagaan agak sukar ditembusi oleh mereka kerana penguasaan bukan Melayu yang begitu besar...(ms222)

No comments:

Post a Comment