SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG

Friday 22 June 2012

BERMUSAFIR SAMBIL MENCIPTA MEMORABILIA

Syukur alhamdulillah dengan nikmat yang Engkau berikan padaku Ya, Allah. Hal ini demikian kerana Engkau masih lagi mengizinkan aku menghirup udara untuk bernafas demi untuk meneruskan kehidupanku.
Dengan izin-Mu aku dapat berpijak di bumi-Mu yang luas terbentang ini sambil mencipta memorabilia.

Sunday 15 April 2012

Mengikuti Kursus Praperkahwinan.

       Syukur alhamdulillah dalam usia yang masih muda, saya telah berkesempatan mengikuti kursus praperkahwinan. Banyak ilmu yang saya perolehi daripada kursus ini. Namun demikian, antara banyak-banyak isi ceramah yang disampaikan oleh para ustaz. Saya lebih tertarik dengan kata-kata ustaz Mohd. Wira, iaitu beliau menyatakan bahawa apa yang paling penting dalam perhubungan suami isteri adalah komunikasi. Hal ini demikian kerana, apa-apa perkara yang tidak disukai eloklah dibawa berbincang. Carilah tempat yang sesuai untuk berbincang. Jangan pendamkan dalam hati. Tidak elok.
        Beliau menyatakan juga bahawa, orang kita ini suka memendam perasaan. Tidak seperti Orang Putih atau Mat Salih, apabila mereka tidak suka akan sesuatu itu. Mereka akan terus nyatakan atau katakan. Tetapi ketika berkomunikasi, kita mestilah menggunakan tutur kata yang sesuai, pilih masa yang sesuai dan lihat juga keadaan pasangan kita. Di samping itu, dalam hubungan suami isteri juga perlu ada saling faham memahami antara satu sama lain sebab kebanyakan pasangan yang bercerai, salah satu alasannya adalah mereka tidak bersefahaman atau sudah tidak sefahaman lagi. Kita jangan hanya melihat atau mencari kesalahan, kesilapan, dan kekurangan pasangan kita kerana jika hanya melihat kekurangan pasangan kita sudah tentulah banyak. Oleh sebab itu, lihatlah juga apa kebaikan, kelebihan, dan keistimewaan dalam diri pasangan kita. Saling tegur-menegur untuk memperbaiki kelemahan diri dengan cara yang berhemah.
       Selain itu, beliau juga memberikan tips-tips untuk mendapatkan anak lelaki dan perempuan. Menurut beliau lagi, mengikut ilmu sains. Jika hendakkan anak lelaki, maka eloklah melakukan hubungan kelamin itu pada waktu di awal-awal pagi. Contohnya pada sekitar pukul 2 pagi hinggalah 6 pagi atau ketika embun jantan pertama menitis. Hal ini demikian kerana, gen Y amat aktif pada waktu awal pagi. Sebaliknya, jika hendakkan anak perempuan, maka eloklah melakukan hubungan kelamin pada waktu di awal malam, iaitu sekitar pukul 9 malam sehingga pukul 11 malam. Hal ini demikian kerana, gen X amat aktif pada waktu itu. Tetapi untuk pengetahuan yang selanjutnya, eloklah bertanya dengan orang-orang yang pakar dalam bidang tersebut. Tambah beliau lagi, selepas selesai melakukan hubungan kelamin. Eloklah segerakan mandi junub atau mandi hadas besar supaya badan kita rasa segar dan sihat. Menurut beliau lagi, jika kita tidur dalam keadaan yang kotor, malaikat akan menutupkan rezeki untuk kita. Seterusnya, pelajarilah adab-adab sebelum melakukan dan selepas melakukan hubungan kelamin.
         Terfikir di dalam minda saya, bahawa tugas atau tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri ini bukanlah mudah. Sekarang, kalau nak kahwin pun urusannya rumit dan saya sangat bersetuju, memang eloklah kursus praperkahwinan ini dibuat atau diadakan dan diwajibkan kepada bakal pasangan yang ingin berkahwin sebagai pendedahan awal kepada kita semua yang akan mendirikan rumah tangga nanti. Selain itu, saya juga sangat bersetuju dengan ujian saringan HIV bagi bakal pasangan yang ingin berkahwin. Hal ini demikian kerana sudah tentulah untuk membebaskan dan mengelakkan kita dan pasangan kita dari penyakit berbahaya.
       Secara kesimpulannya, ilmu ini terlalu luas. Masih banyak benda yang perlu dipelajari. Tidak cukup dengan ilmu akidah atau tauhid sahaja, tetapi mesti dipelajari juga ilmu akhlak, ilmu falak, ilmu tasawuf, ilmu fikah, ilmu munakahat (perkahwinan), ilmu muamalat (jual beli), dan banyak lagilah yang saya tidak dapat sebutkan satu persatu. Oleh sebab itu, dalam Islam telah menggariskan bahawa jikalau kita hendak memilih pasangan hidup. Eloklah memilih yang beragama, insya Allah akan bahagialah hidup kita di dunia dan akhirat. Di samping itu, sebelum kita menginginkan pasangan kita itu seorang yang baik (soleh/solehah) maka, eloklah kita perbaiki dahulu segala kelemahan dan kekurangan dalam diri kita. Saya menulis bukan untuk sesiapa sahaja tetapi ini adalah buat renungan untuk diri saya juga. Semoga kita semua mendapat petunjuk dan rahmat dari-NYA.

Friday 13 April 2012

Dipetik dari 'post' facebook seorang rakan

Saya tertarik akan ayat ini.
" Cukuplah mencintai dalam diam agar hati terjaga"
Ayat ini mempunyai pelbagai tafsiran.
Oleh hal yang demikian, sama-samalah kita fikir-fikirkan dan renung-renungkan maksud di sebalik ayat ini.

Friday 17 February 2012

Nasihat Pensyarah

Setiap waktu kuliah dengan pensyarah ni, beliau selalu menasihati kami.

Kata beliau " saya nak sebelum kamu habis belajar di IB ni, saya nak kamu dah habis jelajah Semenanjung ni. Dari utara ke selatan, dari tengah ke pantai timur. Ikut rakan-rakan yang di Semenanjung ni balik di kampung mereka. Tengok tempat orang. Kenali budaya mereka. Kerana masa inilah waktu yang sesuai untuk kamu berjalan-jalan. Bila kamu dah posting dan kerja nanti, kamu dah tak ada masa nak jalan-jalan lagi nak tengok tempat orang. Carilah pengalaman waktu belajar ni, ingat pengalaman ni akan kamu lalui sekali sahaja dan ianya tidak boleh dibeli. Setiap orang berbeza pengalaman masing-masing".

Kata beliau lagi" Kamu timbalah sebanyak yang boleh ilmu di IB ni. Bila kamu dah berkerjaya nanti, jangan lupa bangunkan tempat asal kamu sendiri ( khususnya kg. halaman ), bangunkan bangsa kamu. Jangan pula bila kamu dah berkerjaya, kamu langsung tak nak ambil peduli tempat asal kamu. Sebagai seorang bakal pendidik, kamu tidak boleh bersikap seperti ini. Kerana insan yang bergelar pendidik ini kena selalu berdamping dengan masyarakat sekeliling dan bukan hanya berdamping dengan anak-anak murid di sekolah semata-mata. Kerana kitalah sebagai 'role model' yang baik kepada mereka. Tapi ini semua terpulang dengan diri kamu sendiri, sama ada kamu nak terima atau tidak nasihat saya ni sebab bukan semua diantara kamu boleh menerima nasihat daripada saya".

Inilah antara kata-kata nasihat yang kerap kali diingatkan kepada kami sewaktu kuliah bersama dengan beliau. Sungguh dalam makna di sebalik nasihat beliau ni. Mengandungi makna tersirat dan tersurat. Semoga kami dapat mengikut kata-kata nasihat yang baik daripada beliau.