SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG

Sunday, 15 April 2012

Mengikuti Kursus Praperkahwinan.

       Syukur alhamdulillah dalam usia yang masih muda, saya telah berkesempatan mengikuti kursus praperkahwinan. Banyak ilmu yang saya perolehi daripada kursus ini. Namun demikian, antara banyak-banyak isi ceramah yang disampaikan oleh para ustaz. Saya lebih tertarik dengan kata-kata ustaz Mohd. Wira, iaitu beliau menyatakan bahawa apa yang paling penting dalam perhubungan suami isteri adalah komunikasi. Hal ini demikian kerana, apa-apa perkara yang tidak disukai eloklah dibawa berbincang. Carilah tempat yang sesuai untuk berbincang. Jangan pendamkan dalam hati. Tidak elok.
        Beliau menyatakan juga bahawa, orang kita ini suka memendam perasaan. Tidak seperti Orang Putih atau Mat Salih, apabila mereka tidak suka akan sesuatu itu. Mereka akan terus nyatakan atau katakan. Tetapi ketika berkomunikasi, kita mestilah menggunakan tutur kata yang sesuai, pilih masa yang sesuai dan lihat juga keadaan pasangan kita. Di samping itu, dalam hubungan suami isteri juga perlu ada saling faham memahami antara satu sama lain sebab kebanyakan pasangan yang bercerai, salah satu alasannya adalah mereka tidak bersefahaman atau sudah tidak sefahaman lagi. Kita jangan hanya melihat atau mencari kesalahan, kesilapan, dan kekurangan pasangan kita kerana jika hanya melihat kekurangan pasangan kita sudah tentulah banyak. Oleh sebab itu, lihatlah juga apa kebaikan, kelebihan, dan keistimewaan dalam diri pasangan kita. Saling tegur-menegur untuk memperbaiki kelemahan diri dengan cara yang berhemah.
       Selain itu, beliau juga memberikan tips-tips untuk mendapatkan anak lelaki dan perempuan. Menurut beliau lagi, mengikut ilmu sains. Jika hendakkan anak lelaki, maka eloklah melakukan hubungan kelamin itu pada waktu di awal-awal pagi. Contohnya pada sekitar pukul 2 pagi hinggalah 6 pagi atau ketika embun jantan pertama menitis. Hal ini demikian kerana, gen Y amat aktif pada waktu awal pagi. Sebaliknya, jika hendakkan anak perempuan, maka eloklah melakukan hubungan kelamin pada waktu di awal malam, iaitu sekitar pukul 9 malam sehingga pukul 11 malam. Hal ini demikian kerana, gen X amat aktif pada waktu itu. Tetapi untuk pengetahuan yang selanjutnya, eloklah bertanya dengan orang-orang yang pakar dalam bidang tersebut. Tambah beliau lagi, selepas selesai melakukan hubungan kelamin. Eloklah segerakan mandi junub atau mandi hadas besar supaya badan kita rasa segar dan sihat. Menurut beliau lagi, jika kita tidur dalam keadaan yang kotor, malaikat akan menutupkan rezeki untuk kita. Seterusnya, pelajarilah adab-adab sebelum melakukan dan selepas melakukan hubungan kelamin.
         Terfikir di dalam minda saya, bahawa tugas atau tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri ini bukanlah mudah. Sekarang, kalau nak kahwin pun urusannya rumit dan saya sangat bersetuju, memang eloklah kursus praperkahwinan ini dibuat atau diadakan dan diwajibkan kepada bakal pasangan yang ingin berkahwin sebagai pendedahan awal kepada kita semua yang akan mendirikan rumah tangga nanti. Selain itu, saya juga sangat bersetuju dengan ujian saringan HIV bagi bakal pasangan yang ingin berkahwin. Hal ini demikian kerana sudah tentulah untuk membebaskan dan mengelakkan kita dan pasangan kita dari penyakit berbahaya.
       Secara kesimpulannya, ilmu ini terlalu luas. Masih banyak benda yang perlu dipelajari. Tidak cukup dengan ilmu akidah atau tauhid sahaja, tetapi mesti dipelajari juga ilmu akhlak, ilmu falak, ilmu tasawuf, ilmu fikah, ilmu munakahat (perkahwinan), ilmu muamalat (jual beli), dan banyak lagilah yang saya tidak dapat sebutkan satu persatu. Oleh sebab itu, dalam Islam telah menggariskan bahawa jikalau kita hendak memilih pasangan hidup. Eloklah memilih yang beragama, insya Allah akan bahagialah hidup kita di dunia dan akhirat. Di samping itu, sebelum kita menginginkan pasangan kita itu seorang yang baik (soleh/solehah) maka, eloklah kita perbaiki dahulu segala kelemahan dan kekurangan dalam diri kita. Saya menulis bukan untuk sesiapa sahaja tetapi ini adalah buat renungan untuk diri saya juga. Semoga kita semua mendapat petunjuk dan rahmat dari-NYA.

Friday, 13 April 2012

Dipetik dari 'post' facebook seorang rakan

Saya tertarik akan ayat ini.
" Cukuplah mencintai dalam diam agar hati terjaga"
Ayat ini mempunyai pelbagai tafsiran.
Oleh hal yang demikian, sama-samalah kita fikir-fikirkan dan renung-renungkan maksud di sebalik ayat ini.